Tuesday 10 January 2012

Mencari Identiti Diri melalui Interaksi

Naluri manusia yang mahukan jawapan-jawapan berkenaan personaliti dan identiti diri akhirnya menuntut supaya kita berfikir mengenai arah tuju hidup. Namun, tidak semua perkara dapat difahami tentang diri. Di sinilah indahnya kehidupan bermasyarakat. Ia membolehkan kita memahami diri melalui interaksi bersama orang lain di sekeliling kita.

Orang lain umpama cermin kepada diri kita. Mereka melihat apa yang kita tidak nampak. Orang lain nampak kelemahan yang kita tidak sedari. Berkongsi kekuatan dan kelemahan diri bersama rakan yangboleh dipercayai adalah suatu cara kita mengenali diri. Bahkan, saiyidina Umar Al-Khattab pernah berkata bahawa mereka yang dapat memperkatakan tentang kelemahan diri beliau adalah kawan beliau. Ini menunjukkan kesungguhan khalifah ke-2 Islam ini untuk memuhasabah diri.

Tidak salah untuk kita meminta teman-teman rapat kita mengkritik diri kita, tetapi berapa ramaikah yang sanggup mengkritik orang lain untuk memperbaiki dirinya?

Manusia Perlu Bersyukur

Tuntutan Bersyukur

Perawi Hadith : Riwayat At-Tabrani
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Sesiapa yang diberi suatu kebaikan hendaklah ia mengingatinya, sesiapa yang mengingatinya ia dianggap bersyukur. Sesiapa yang tidak mengenangkan budi yang diberi ia dianggap sebagai kufur nikmat.”
 
Sheikh Muhammad `Abduh membuat takrif syukur sebagai berikut: Dan tidak dikatakan bersyukur kecuali jika seseorang menggunakan dan memanfaatkan segala nikmat-nikmat itu dalam hal-hal untuk apa nikmat itu diberikan.

Jadi tidak cukup bersyukur itu dengan membaca atau mengucapkan lafaz الحمد لله dan شكر لله sahaja. Erti bersyukur yang sebenarnya ialah meliputi lisan, hati, dan anggota badan.
Bagaimanakah caranya kita bersyukur kepada Allah SWT? Bersyukur kepada Allah SWT ialah dengan mengekalkan baik sangka terhadap Allah SWT dan meletakkan keyakinan kepada-Nya dalam apa jua keadaan. Perkataan yang terlafaz dari mulut kita tentang Allah SWT hanyalah kata-kata pujian, sanjungan dan pujaan. Justeru hanya Allah SWT yang layak menerima kata-kata seperti itu. Tidak seharusnya terlafaz daripada diri kita perasaan benci, kecewa, buruk sangka dan perasaan seumpama itu terhadap Allah SWT.
Baginda membanyakkan ibadat sebagai amalan kesyukuran kepada Allah SWT. Oleh itu, melaksanakan segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya, adalah pernyataan kesyukuran yang paling utama. Ini diikuti dengan mengerjakan amalan-amalan sunat bagi menyempurnakan kesyukuran itu.
Tanda bersyukur dalam perkhidmatan ialah dengan menjadikan khidmat kepada negara dan orang ramai sebagai ibadah. Tugas yang dijalankan sama ada di sektor awam dan swasta, bukan semata-mata untuk mencari nafkah, tetapi lebih daripada itu. Selain daripada bertujuan mencari nafkah, ia juga hendaklah memenuhi tuntutan ibadah iaitu mencari nafkah untuk diri dan keluarga bagi memenuhi kewajipan yang ditentukan oleh Allah SWT. Jika ini menjadi matlamat, maka nafkah yang diperolehi mestilah nafkah yang halal, kerana tujuannya ialah untuk menunaikan kewajipan yang ditentukan oleh Allah SWT terhadap diri dan keluarga.
Seorang ahli hikmah berkata: Saya sibuk mensyukuri empat perkara:
i.      Allah telah menjadikan seribu macam makhluk, sedang yang termulia dari semua itu adalah anak Adam, lalu Allah menjadikan aku dari anak Adam.

ii.     Allah telah melebihkan orang lelaki daripada wanita, lalu menjadikan aku lelaki.

iii.    Aku mengetahui bahawa Islam itu sebaik-baik agama, dan yang diterima oleh Allah, lalu aku dijadikan sebagai seorang muslim.

iv.   Aku mengetahui bahawa umat Muhammad itu seutama-utama umat, lalu Allah menjadikan aku dari umat Muhammad SAW.