Tuntutan Bersyukur
Perawi Hadith
: Riwayat At-Tabrani
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Sesiapa yang diberi suatu kebaikan
hendaklah ia mengingatinya, sesiapa yang mengingatinya ia dianggap bersyukur.
Sesiapa yang tidak mengenangkan budi yang diberi ia dianggap sebagai kufur
nikmat.”
|
Sheikh Muhammad `Abduh membuat takrif syukur sebagai
berikut: Dan tidak dikatakan bersyukur kecuali jika seseorang menggunakan dan
memanfaatkan segala nikmat-nikmat itu dalam hal-hal untuk apa nikmat itu
diberikan.
Jadi tidak cukup bersyukur itu dengan membaca atau mengucapkan lafaz الحمد
لله dan شكر لله sahaja. Erti bersyukur yang sebenarnya ialah meliputi lisan,
hati, dan anggota badan.
Bagaimanakah caranya kita bersyukur kepada Allah SWT? Bersyukur kepada Allah
SWT ialah dengan mengekalkan baik sangka terhadap Allah SWT dan meletakkan
keyakinan kepada-Nya dalam apa jua keadaan. Perkataan yang terlafaz dari mulut
kita tentang Allah SWT hanyalah kata-kata pujian, sanjungan dan pujaan. Justeru
hanya Allah SWT yang layak menerima kata-kata seperti itu. Tidak seharusnya
terlafaz daripada diri kita perasaan benci, kecewa, buruk sangka dan perasaan
seumpama itu terhadap Allah SWT.
Baginda membanyakkan ibadat sebagai amalan kesyukuran kepada Allah SWT. Oleh
itu, melaksanakan segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya,
adalah pernyataan kesyukuran yang paling utama. Ini diikuti dengan mengerjakan
amalan-amalan sunat bagi menyempurnakan kesyukuran itu.
Tanda bersyukur dalam perkhidmatan ialah dengan menjadikan khidmat kepada
negara dan orang ramai sebagai ibadah. Tugas yang dijalankan sama ada di sektor
awam dan swasta, bukan semata-mata untuk mencari nafkah, tetapi lebih daripada
itu. Selain daripada bertujuan mencari nafkah, ia juga hendaklah memenuhi
tuntutan ibadah iaitu mencari nafkah untuk diri dan keluarga bagi memenuhi
kewajipan yang ditentukan oleh Allah SWT. Jika ini menjadi matlamat, maka nafkah
yang diperolehi mestilah nafkah yang halal, kerana tujuannya ialah untuk
menunaikan kewajipan yang ditentukan oleh Allah SWT terhadap diri dan keluarga.
Seorang ahli hikmah berkata: Saya sibuk mensyukuri empat perkara:
i. Allah telah menjadikan
seribu macam makhluk, sedang yang termulia dari semua
itu adalah anak Adam, lalu Allah menjadikan aku dari anak Adam.
ii. Allah telah melebihkan orang lelaki daripada
wanita, lalu menjadikan aku lelaki.
iii. Aku mengetahui bahawa Islam itu sebaik-baik agama,
dan yang diterima oleh Allah, lalu aku dijadikan sebagai seorang muslim.
iv. Aku mengetahui bahawa umat Muhammad itu seutama-utama umat,
lalu Allah menjadikan aku dari umat Muhammad SAW.